Sunday, February 12, 2012

MELIHAT DARIPADA MATA TUHAN BUKAN DARIPADA MATA DUNIA

“Lenyaplah penyakit kusta dan orang itu menjadi tahir.”
Cinta kasih merupakan inti ajaran Yesus. “Inilah perintah-Ku,” kata-Nya, “Iaitu supaya kamu saling mengasihi, seperti Aku telah mengasihi kamu” (Yoh 15:12). Tetapi pasti Yesus merasa sungguh kecewa kerana nampaknya pesan ajaran-Nya itu, tidak sungguh difahami dan dilaksanakan dalam kehidupan. Buktinya banyak perpecahan terjadi di antara para pengikut-Nya sendiri. Menurut kajian, terdapat lebih daripada 22,000 denominasi agama kristian. Sedihnya lagi, banyak di antara denomasi tersebut saling bergaduh di antara satu dengan yang lain. Saling mengatakan bahawa denomanasinyalah yang betul-betul Gereja Yesus yang benar.
Walaupun Yesus tidak pernah menulis suatu garis panduan tentang jenis cinta kasih yang Dia ajarkan itu, namun Dia ada menunjukkan beberapa sifat cinta kasih yang Dia maksudkan itu.
Salah satu daripada sifat cinta kasih Kristian itu adalah kesanggupan untuk berkorban atau berani disakiti demi sesamanya. Umat Kristian Purba, tidak pernah melupakan ajaran Yohanes ini: “Demikianlah kita ketahui kasih Kristus, iaitu bahawa Ia telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita; jadi kita pun wajib menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita” (1Yoh 3:16)
Tetapi saat-saat yang luar biasa seperti, “Menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita,” tidak selalu datang di dalam kehidupan harian kita. Demikian juga dengan keperluan cintakasih seperti bermurah hati sewaktu anda merasa terganggu atau mengongsikan masa, usaha atau kewangan kepada sesama yang memerlukan, tidak selalu dihadapi dalam hidup harian kita. Mungkin inilah sebabnya orang dengan mudah mengatakan “Aku cinta padamu,” tetapi apabila disuruh melakukan sesuatu, tidak mahu melakukan apa-apa atas pelbagai alasan pula.
Suatu hari seorang pemuda menyatakan cinta kasihnya yang tidak berbelah bagi kepada kekasihnya: “Aku cinta padamu sepenuh hati, lautan dalam pun aku sanggup seberangi.” Langsung dijawab oleh sang kekasihnya: “Bolehkah engkau datang ke rumahku hujung minggu ini untuk membantu kami membersihkan kawasan rumah kami?” Air muka pemuda tersebut langsung berubah lesu dan kedengaranlah dia mengomel, “Saya tidak suka orang mengambil kesempatan.”
Sifat cinta kasih Kristian yang kedua adalah bersifat universal, maksudnya, untuk semua walaupun cinta kasih Yesus ditujukan kepada sahabat-sahabat-Nya yang terdekat, misalnya seperti keluarga Lazarus (lih Yoh 11), namun cinta kasih-Nya dipanjangkan juga kepada semua orang-orang miskin, orang-orang sakit, orang-orang yang dipinggirkan oleh masyarakat.
Memang dalam hidup harian kita, terdapat godaan untuk membuat batas-batas tersendiri di dalam menggamalkan cinta kasih tersebut. Misalnya batas suku bangsa, agama, pangkat, darjat atau mengasihi hanya kepada orang-orang yang ‘boleh dikasihi’ dan menguntungkan diri sendiri.
Suatu hari seorang pemuda duduk di dalam bas yang dipenuhi penumpang. Ada seorang ibu tua berdiri di depannya, tetapi dia pura-pura tidur. Apabila ada seorang wanita cantik menaiki bas tersebut, dia mengenyitkan matanya sambil mempelawa wanita tersebut mengambil tempat duduknya.
Sama ada muda atau tua, miskin atau kaya, sukar dikasihi atau orangnya menarik, cinta kasih yang sebenar tidak akan membeza-bezakan orang – semua perlu dikasihi sama rata.
Sifat cinta kasih Kristian yang ketiga adalah aksi yang nyata. Cinta kasih perlu dibuktikan melalui hubungan harian yang biasa di dalam keluarga, di tempat kerja, di sekolah, di kejiranan, malah di manapun kita berada. Jangan sampai apabila ada sesama kita minta bantuan supaya kisah kehidupannya didengarkan, apalagi jika dia memerlukan sesuatu misalnya wang, kita hanya mampu berkata, “Saya prihatin dengan anda, saya tidak dapat bantu memberi apa-apa, tetapi saya doakan saja!” Ingatlah, orang-orang yang bersikap demikian ini pernah ditegur oleh Yakobus: “Jika iman itu tidak disertai perbuatan, maka iman itu pada hakikatnya adalah mati” (Yak 2:17).
Pada hari ini kita bergembira bahawa kasih Yesus itu tidak ada had. Dia bersedia menyembuhkan orang yang berpenyakit kusta yang dianggap hina dan dipinggirkan itu, bukan dari jauh tapi menjamahnya tanpa was-was dengan penuh cinta kasih.
Contoh-contoh nyata penghidap penyakit kusta moden diwakili oleh orang-orang lanjut usia, terutama ibu bapa kita sendiri yang dianggap sudah lapuk dan tidak berguna lagi. Kita terlalu mengagung-agungkan keremajaan hidup. Kita menolak orang-orang yang menagih dadah, bekas-bekas banduan dan pemimpin yang tidak jujur serta mereka yang menghidap penyakit HIV, AIDS. Kita tidak dapat menerima orang-orang yang kita anggap berdosa.
Demikian juga, ada banyak pasangan bercerai dan berkahwin lagi. Kita sungguh diuji dan sentiasa tercabar bagaimana mengasihi dan menerima mereka apa adanya. Contoh-contoh kehidupan ini memang banyak, maka kesempatan-kesempatan kita untuk mengasihi dan menyembuhkan pun memang banyak.
Ingatlah, Yesus sentiasa mengasihi orang-orang yang berdosa dan sentiasa berharap agar suatu hari nanti mereka akan bertaubat. Kita semua memerlukan penyembuhan dan penyucian. Maka marilah kita bersama-sama merayakan penyucian dan penyembuhan yang kita perolehi daripada Kristus sendiri dengan cara mengharapkan kata-kata-Nya ini: “Aku mahu, jadilah engkau tahir,” sambil kitapun berdoa kepada sesama kita yang masih bergelut dengan pergolakan hidup yang nampaknya kurang baik itu dengan kata-kata Yesus sendiri: “Ya Bapa, ampunilah mereka, sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat” (Lk 23:34) 

No comments:

Post a Comment