Wednesday, October 5, 2011

RISIKO MENGASIHI

Renungan Hari Minggu Ke – 27 (A)

Yes 5:1-7; Flp 4:6-9; Mat 21:33-43

“Kebun anggur Tuhan alam semesta ialah umat Israel”
Orang bilang cinta itu buta. Jadi sesiapa yang jatuh cinta, perlu bersedia menerima risikonya. Allah sendiri telah mengalami risiko cinta ini apabila Dia menciptakan manusia menurut gambaran-Nya sendiri, mempunyai kepintaran dan kebebasan yang boleh menerima atau menolak-Nya. Kisah yang yang paling sedih adalah apabila leluhur kita yang pertama, Adam dan Hawa memilih untuk tidak taat kepada Allah lalu menjadikan semua umat manusia mempunyai dosa asal.
Perkara sama terjadi apabila Allah memilih bangsa Israel. Walaupun dijaga oleh Allah dengan cukup baik, namun dasar manusia, mereka lebih suka untuk tidak taat kepada-Nya. Demikian juga di dalam perumpamaan Injil hari ini tentang penyewa-penyewa kebun yang jahat itu. Ketika tuan tanah mengirim orang suruhannya untuk meminta hasil bahagiannya, orang marah malah anaknya sendiri dihina dan dibunuh oleh para penyewa tanah tersebut. Maka tidak hairanlah para penyewa tersebut dihukum dan kebun tersebut diambil kembali oleh tuan tanah tersebut lalu disewakan pada orang lain. Orang-orang yang baru ini pula adalah orang-orang Yahudi, bukan Yahudi dan kita sekarang yang telah menjadi umat Allah yang terdiri daripada pelbagai suku dan bangsa.
Di dalam kisah cinta Tuhan kepada manusia pilihan-Nya ini, kita dapat melihat kasih Allah sedang berkarya. Bahawa kasih, menurut sifatnya yang sebenar, adalah bebas. Maka disanalah sebenarnya titik kelemahan tersebut terjadi. Walaupun Allah mengharapkan agar kita menggunakan kepintaran kita serta kebebasan kita secara bertanggungjawab iaitu membalas tawaran cinta-Nya melalui pelayanan kita terhadap-Nya dan sesama kita, namun kitapun boleh menyalahgunakannya untuk tidak taat kepada-Nya. Maka persoalannya, bagaimanakah kita dapat menggunakan rahmat cinta kasih ini?
Pertama, memang ada orang yang dapat menyalahgunakan rahmat cinta kasih ini. Perkara ini terjadi apabila kita lebih suka menyakiti orang daripada membantunya atau memberi kata-kata kesat daripada memberi kata-kata hiburan dan yang memberi semangat. Dengan kata lain, kita lebih suka bersikap kasar terhadap sesama daripada bersikap lemah lembut.
Kedua, ada orang yang bersikap baik hanya apabila ada atasan atau orang yang berwibawa melihatnya. “Yang penting, jangan kedapatan” kata mereka, “Sebab bukankah orang lain pun buat begitu? Tetapi jika sikap kita demikian, jangan lupa Tuhan sentiasa dapat melihat bukan hanya sikap tapi apa yang kita fikirkan jauh di dalam lubuk hati kita.
Di dalam dua perkara itu tadi, penggunaan rahmat cinta kasih Allah tidak akan membawa apa-apa hasil yang diharapkan Tuhan. Sebab bukan khabar gembira yang kita wartakan tetapi sebaliknya kita menjadi penghambat saluran kasih Allah tersebut kepada sesama kita.
Tentunya menjadi Kristian sahaja belum cukup hanya dengan menghindari dosa. Kita dipanggil untuk melakukan yang terbaik dan melakukan lebih daripada sekadar melaksanakan kewajipan belaka. Ini bererti berani mengambil risiko walaupun sikap kita yang baik itu di salahfahamkan atau disalahgunakan pula. Jangan sampai kita berhenti berbuat yang baik membimbing sesama kita kepada kebaikan untuk menjadi anak-anak Allah yang terpuji.
Walaupun perumpamaan tersebut ditujukan kepada para Farisi dan Saduki, namun ianya tetap berlaku juga kepada kita semua sebagai suatu amaran agar kita tetap berwaspada dengan tingkah laku kita. Memang kita sungguh diberkati dengan iman Kristian yang kita amalkan sekarang ini, tetapi apakah kita sungguh menghasilkan buah yang diharapkan oleh Tuhan? Ataukah agama bagi kita sudah menjadi kebiasaan sehingga sikap kita endah tidak endah sahaja? Hanya menunaikan kewajiban seadanya, rajin ke gereja pada hari Ahad, memberi derma, koleksyen, menyambut Tubuh Kristus kerana terikut arus orang yang pergi menyambut dan begitu seterusnya tanpa apa-apa kesan di dalam kehidupan?
Dengan pasangan suami isteri pun demikian juga. Bayangkanlah, seorang suami yang sayang pada isterinya tetapi hanya di bibir sahaja. Isterinya bekerja untuk mencukupi keperluan rumah tetapi sang suami yang ‘baik’ itu hanya diam tanpa berusaha. Akhirnya isteri melepaskan kemarahannya. Suami terkejut, “Apa hal? Saya tidak lakukan yang tidak baik. Bukan pemabuk, bukan penjudi, bukan kaki perempuan.” Sang isteri yang begitu geram dengan suami berkata, “Itulah halnya. Engkau tidak memperlihatkan kasih dan kepedulianan melalui tindakan mu yang nyata.”
Menjadi Kristian kita tidak boleh berkata pada Tuhan, “Apa hal Tuhan?” Apabila kita menghadapi pelbagai masalah kehidupan, “Saya rajin ke gereja, rajin berdoa, apa lagi yang Engkau mahu?”
Rajin ke Gereja dan berdoa itu memang baik tetapi kita perlu mengimbanginya dengan budaya menyembah kepada Tuhan, iaitu budaya membentuk iman yang disempurnakan dengan budaya bertanggungjawab sosial, menyatakan kasih kita kepada Allah setiap hari melalui tindakan kita yang nyata terhadap sesama yang ditindas, miskin, ditimpa kemalangan dan pelbagai bencana.
Akhirnya kita perlu senantiasa sedar bahawa segala anugerah, bakat, talenta yang Tuhan berikan pada kita itu perlu kita kongsikan dengan sesama sesuai dengan keadaan, masa dan tempat. Sebab jika kita gagal maka nampaknya kita kehilangannya sebab, “Kebun anggur akan disewakan kepada penggarap-penggarap lain, yang akan menyerahkan hasilnya kepada-Nya pada waktunya” (Mat 21:4). (JL)
FROM:
http://keningaudiocese.org/?p=3673
   

No comments:

Post a Comment